Sunday 30 December 2012

Batas gurauan!!

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
selawat dan salam buat junjungan besar Nabi kita Muhammad bin Abdullah suri teladan sepanjang zaman....



Islam menggalakkan ummatnya mengeratkan silaturrahim sesama manusia agar kehidupan harmoni. Kita juga digalakkan untuk menyenangkan hati sesaama saudara kita dan salah satu caranya adalah dengan bergurau senda.
Nabi kita Muhammad saw menjalani kehidupan bersama para sahabat dan ahli kerabat seperti manusia biasa. Baginda berkonsi kesedihan, kesusahan, dan musibah bahkan  pernah bergurau senda.
Gurauan merupakan suatu perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Hidup dirasakan bertambah ceria dan bererti apabila terdapatnya gurauan yang menyenangkan hati dan perasaan. Akan tetapi sekiranya gurauan dilakukan dengan secara melampau dan berlebihan, maka bukan keceriaan yang diperoleh, sebaliknya kekusutan, dendam dan pelbagai perkara negatif lain yang akan hadir dalam kehidupan. Bagaimana pula dengan insan agung iaitu Rasulullah saw? Apakah baginda pernah bergurau dalam melayari kehidupan di atas dunia ini, atau baginda bersikap serius dalam segenap perkara?


Sebenarnya, apabila diteliti dalam sirah nabi saw, didapati bahawa Rasulullah sendiri pernah bergurau dengan para sahabat dan juga bergurau dengan isteri-isteri baginda. Malahan, gurauan nabi saw telah menceriakan suasana kehidupan dalam rumahtangga baginda dan mengeratkan lagi persaudaraan dengan para sahabat.
Rasulullah saw juga berusaha mempastikan agar gurauan baginda itu tidak menyakiti hati saudaranya yang lain, sebaliknya ia merupakan suatu perkara yang boleh mendatangkan kegembiraan dan keceriaan. Rasulullah saw pernah bersabda selepas bergurau dengan para sahabat, yang maksudnya: 'Aku hanya mengeluarkan perkataan dan ucapan yang benar'.(Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmidhi dan Imam Ahmad).


Justeru, seseorang yang hendak bergurau, hendaklah memelihara adab-adab gurauan agar gurauan tersebut berlaku dalam suasana kasih sayang dan keceriaan dan tidak menyebabkan berlakunya permusuhan dan dendam. Itulah indahnya Islam!. Sehubungan dengan itu, hindarkanlah daripada gurauan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya, menghina orang lain, memperlekehkan seseorang, menggelarkan orang lain dengan sesuatu gelaran yang tidak disukainya, apatah lagi apabila mereka-reka cerita dan berbohong dalam bergurau.
Begitu juga setiap orang hendaklah menghindari gurauan yang keterlaluan. Terdapat dalam masyarakat, mereka yang sentiasa bergurau tanpa mengira masa sehingga perkara yang sepatutnya menjadi serius pun tidak diambil berat. Gurauan seharusnya menjadi ’penambah perisa’ dalam pergaulan, bukannya dijadikan ’bahan utama’. 


Gurauan dalam kehidupan ibarat garam dalam masakan...kalau masakan itu terlebih garam sudah tentu terasa amat masin dan tiada siapa yang akan menjamahnya. Sama halnya dengan gurauan dalam kehidupan diperlukan sedikit sahaja sebagai perisa untuk melazatkan makanan.
Oleh itu berhati-hatilah dalam bergurau, jangan sampai berlebihan dan melampaui batas.  Jangan lah dalam gurauan ada unsur-unsur mencerca, menghina dan menyakiti orang lain kerana ia boleh mencetuskan kemarahan  dan pergaduhan hingga terputusnya silaturrahim.


 "Demi MASA! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali
(1) orang-orang yang beriman, (2) dan yang beramal soleh
(3) dan yang berpesan2 pada kebenaran (4) dan yang berpesan2 pada kesabaran".
~Surah Al-'Asr.

mmt~

No comments:

Post a Comment